Tidak dinafikan bahawa hijrah
mengandungi hikmah yang terlalu besar. Tidak akan habis untuk
diselongkar rahsianya dan tidak akan susut untuk digali
perbendaharaannya. Penulisan ini cuba untuk mencedok hanya sekelumit
daripada hikmah yang terkandung di sebalik peristiwa bersejarah itu.
Hijrah berasal daripada kata kerja hajara (هجر) bermaksud meninggalkan, memutuskan atau keluar dari sebuah negeri ke negeri yang lain.
Sebelum Fathu Makkah, hijrah ke
Madinah, tempat terlaksananya kedaulatan Islam, diwajibkan ke atas
seluruh Muslimin kecuali mereka yang mempunyai keuzuran tertentu.
Selepas Makkah berjaya dikembalikan ke tangan umat Islam, manusia
memasuki agama Allah berbondong-bondong dan mereka telah bebas
melaksanakan Islam serta mendirikan syiarnya di mana jua, maka tiada
lagi keperluan untuk berhijrah ke Madinah. Baginda telah bersabda
(maksudnya):
“Tiada hijrah selepas al-Fath (Pembukaan Makkah), tetapi jihad dan niat. Dan apabila kamu dikerah untuk pergi berjuang, maka segeralah manyahutnya!”
(Riwayat al-Bukhari, Muslim dan lain-lain)
Mujasyik bin Mas’ud dan saudaranya
datang menemui Nabi sallallahu alaihi wasallam dan berkata, “Kami
berjanji setia untuk berhijrah”. Nabi sallallahu alaihi wasallam
bersabda (maksudnya), “Telah berlalu hijrah untuk mereka yang telah
melakukannya.” Mereka bertanya, “Kalau begitu kami berjanji setia untuk
apa?” Baginda menjawab (maksudnya), “Untuk Islam dan jihad.”
(Riwayat al-Bukhari)
Maksud hijrah dalam nas-nas di atas
ialah hijrah dari Makkah ke Madinah. Umat Islam tidak lagi dituntut
supaya meninggalkan Makkah dan berhijrah ke Madinah kerana Makkah telah
menjadi negara Islam dan tiada lagi halangan untuk mereka melaksanakan
ajaran Islam dalam semua aspek kehidupan.
Adapun mereka yang berada di dalam
negara kafir yang menindas dan menghalang umat Islam daripada
melaksanakan ibadah yang dituntut oleh Islam serta syiar-syiarnya, wajib
berhijrah sampai bila-bila.
Imam Ahmad dan lain-lain meriwayatkan daripada Abdullah bin Waqdan, Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya),
“Tidak terputus hijrah selagi Muslim diperangi oleh kuffar.”
Namun sekiranya Muslim berada dalam
negara kafir yang tidak memerangi Islam serta tidak menghalang
orang-orang Islam melaksanakan segala syiarnya, tidak wajib berhijrah
dari negara tersebut, lebih-lebih lagi berada di dalam negara yang
mengamalkan dasar terbuka serta memberi peluang kepada Muslim untuk
berdakwah dan menunjukkan kebaikan Islam kepada masyarakat setempat.
Apakah ini bermakna kita tidak perlu berhijrah lagi?
Sebenarnya hijrah mempunyai dua
pengertian: hijrah secara fizikal dari satu negeri ke negeri yang lain,
dan hijrah dengan hati kepada Allah dan Rasul-Nya. Inilah hijrah yang
hakiki yang menjadi tunjang kepada hijrah jasmani. Perkataan hijrah
mengandungi elemen, ‘dari’ dan ‘ke’ atau ‘daripada’ dan ‘kepada’. Jadi
hijrah hati bermaksud berhijrah daripada cinta kepada selain Allah
kepada cinta kepada Allah, daripada ubudiah kepada makhluk kepada
ubudiah kepada Allah, daripada takut, berharap dan bertawakkal kepada
selain Allah kepada takut, berharap dan bertawakal kepada-Nya.
Kata Ibn al-Qayyim rahimahullah, hijrah
kepada Allah ialah dengan meminta, mencintai, menghambakan diri,
bertawakal, takut dan mengharap hanya kepada-Nya. Dan hijrah kepada
Rasul ialah dengan mengikuti syariat yang dibawanya dalam semua aspek,
lahir dan batin.
Maka hijrah yang dituntut pada masa kini ialah:
1. Jihad fi sabilillah
dengan niat yang ikhlas sebagaimana hadis yang dikeluarkan oleh
an-Nasa’i daripada Safwan bin Umayyah r.a. katanya, “Saya berkata: Ya
Rasulullah, sesungguhnya mereka berkata bahawa syurga tidak akan
dimasuki kecuali oleh orang yang berhijrah?” Baginda menjawab
(maksudnya), “Tidak ada hijrah selepas Fathu Makkah, tetapi jihad dan
niat. Maka apabila kamu dikerah untuk berjihad, segeralah menyahutnya.”
2. Taubat nasuha dengan meninggalkan
segala kejahatan dan dosa sebelum matahari terbit dari arah barat.
Daripada Mu’awiah bin Abi Sufyan r.a., beliau mendengar Rasulullah
sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya),
“Tidak terputus hijrah sehingga terputus
(peluang) bertaubat, dan tidak terputus (peluang) bertaubat sehingga
matahari muncul dari arah barat.”
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan lain-lain)
Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Aas, Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya),
“Sesungguhnya hijrah ada dua unsur. Satu
daripadanya ialah kamu meninggalkan kejahatan dan kedua kamu berhijrah
kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan tidak terputus hijrah selagi taubat
diterima. Taubat akan terus diterima sehingga matahati terbit dari
barat. Apabila matahari telah terbit dari barat, akan dicopkan ke atas
setiap hati manusia apa yang telah ada padanya. Peluang beramal sudah
tiada lagi.”
(Riwayat Ahmad)
3. Memberi sedekah. Daripada Abi
Saeid al-Khudri r.a. katanya, seorang badwi telah datang menemui Nabi
sallallahu alaihi wasallam bertanya mengenai hijrah. Baginda bersabda
(maksudnya),
“Dengar ini! Sesungguhnya hijrah itu
urusannya sangat sulit. Maka adakah kamu memiliki unta?” Badwi itu
menjawab, “Ya.” Nabi sallallahu alaihi wasallam bertanya, “Adakah kamu
mengeluarkan zakatnya?” Dia menjawab, “Ya.” Nabi sallallahu alaihi
wasallam bertanya lagi, “Adakah kamu memberi sedekah sesuatu daripadanya
seperti memerah susunya?” Dia menjawab, “Ya.” Lalu baginda bersabda
(maksudnya),
“Maka beramallah kamu dari seberang lautan. Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak mengabaikan amalan kamu sedikit pun.”
Ketika mensyarahkan Hadis ini, al-Hafidz
Ibn Hajar berkata, “Hadis ini menunjukkan kelebihan mengeluarkan zakat
unta, iaitu dengan mengeluarkan hak Allah pada unta itu menyamai
kelebihan hijrah. Hadis ini juga mengisyaratkan bahawa seseorang yang
menetap di negerinya dengan menunaikan zakat unta, akan memperoleh
ganjaran hijrah dan menetap di Madinah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan